UNTUK LEPASAN SPM !!! BERINGATLAH !!!

6:30 PM



Agensi swasta kaut untung

SAYA selaku ibu kepada pelajar perubatan di Mesir ingin memohon jasa baik pihak-pihak berwajib seperti Kementerian Pengajian Tinggi untuk melihat situasi sebenar pelajar di sana.

Baru-baru ini keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumumkan. Dengan ini pelajar mempunyai banyak pilihan untuk melanjutkan pelajaran. Antara pilihan yang menjadi rebutan
 pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara ialah dengan menggunakan cara yang singkat iaitu melalu agensi swasta.

Justeru, wujudlah agensi-agensi swasta mengendalikan penghantaran pelajar ke luar negara dengan cara membayar perkhidmatan mereka. Antara yang mula berkembang ialah agensi penghantaran pelajar ke Mesir dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi. Sana sini kita boleh melihat iklan mereka.

Untuk pengetahuan semua, syarat kemasukan pelajar perubatan di Mesir terlalu longgar hanya cukup untuk peroleh minimun 4B di dalam subjek Sains. Disebabkan kelonggaran ini maka wujudlah agensi-agensi swasta yang bertindak menghantar para pelajar yang berminat ke Mesir.

Agensi-agensi ini mengetepikan kualiti dengan mengambil pelajar tanpa mengambil kira kelayakan mengikuti pengajian di dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi. Kos penghantaran pelajar ke Mesir dikenakan antara RM20,000 hingga RM40,000. Mereka memperdagangkan masa depan pelajar untuk mengaut keuntungan.

Agensi-agensi ini memberi taklimat kepada pelajar lepasan SPM mengenai keindahan belajar di bumi anbia. Tetapi apabila anak-anak tiba di sana semuanya indah khabar dari rupa. Malah agensi terlalu tamak dengan membuat pengambilan secara besar-besaran. Contohnya untuk tahun 2012 seramai 500 lepasan SPM telah dihantar ke Mansoura, Mesir.

Apabila ditanya ada yang mendapat D di dalam SPM tetapi disebabkan faktor wang mereka terlepas ke sana. Kasihan pada anak-anak cemerlang yang mendapat 9A yang pergi di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Kualiti mereka diperlekehkan dengan kehadiran pelajar-pelajar yang tidak layak ini.

Akibat terlalu ramai pelajar, bermulalah masalah apabila agensi bersikap lepas tangan. Pelajar berdepan dengan janji-janji manis agensi yang sepatutnya menyelesaikan masalah visa tetapi sebaliknya. Pada 16 Mac lalu, seorang pelajar lelaki ditoreh dengan pisau dan menerima 16 jahitan di Mansoura kerana dirompak oleh seorang pemuda Arab.

Pencuri tersebut dapat ditangkap oleh pelajar Malaysia. Tetapi setiba di balai polis tindakan tidak dapat di ambil memandangkan pelajar ini belum lagi selesai urusan visa yang telah enam bulan berlalu akibat sikap agensi yang lepas tangan.

Bukan seorang pelajar tidak mempunyai visa tetapi ramai lagi. Pelajar-pelajar ini tidak ubah seperti pendatang asing. Ini kerana akibat pengambilan terlalu ramai, agensi sendiri tidak mampu untuk menangani masalah visa tersebut.

Akibat terlalu ramai pelajar Malaysia juga di Mesir, masalah perumahan mula timbul. Harga barang naik melambung akibat kebanjiran pelajar asing secara berlebihan, di samping terdedah kepada risiko jenayah. Tetapi ini semua tidak dimaklumkan oleh pihak agensi sejak awal. Dengan keadaan sedemikian, adalah lebih baik pelajar menyambung belajar di Malaysia sahaja.

Bayangkan setiap tahun ribuan pelajar dihantar ke Mesir untuk kursus perubatan, pergigian dan farmasi. Diharap Kementerian Pengajian Tinggi dan badan-badan yang terlibat prihatin mengenai masalah ini. Hadkan kuota penghantaran pelajar melalui agensi swasta. Biarlah yang benar-benar layak sahaja dihantar ke sana.

Kepada agensi swasta pula, tolonglah jangan terlalu mengejar keuntungan sehingga kebajikan pelajar di bawah anda tidak terurus.

Jika boleh biarlah pelajar mempunyai persiapan daripada segi mental dan fizikal untuk ke luar negara. Kasihan anak-anak ini yang ada ketika berasa rendah diri walaupun rata-rata di antara mereka pelajar cemerlang.

Untuk memahami budaya Arab bukanlah mudah. Tetapi agensi swasta mengetepikan semua perkara ini, sebaliknya sibuk mengejar keuntungan dalam membuat pengambilan dan penghantaran segera pelajar-pelajar ini. Kita boleh melihat betapa rakusnya agensi swasta membuat taklimat di sana sini untuk membolehkan perniagaan mereka mengaut keuntungan yang banyak saban hari.

Saya juga berharap agar kepada ibu bapa mahupun pelajar dan semua pihak yang berminat untuk menghantar anak ke sesuatu tempat, pastikan tempat tersebut benar-benar selamat, mempunyai persekitaran yang sememangnya sesuai untuk anak kita belajar. Jangan hanya mendengar kata-kata agensi untuk ke luar negara maka kita terus berminat kerana itu jalan pintas yang mudah.

Tidak semua tempat bermasalah di Mesir. Boleh sahaja kita letakkan pelajar-pelajar ini di kawasan yang aman. Tetapi isunya hanya disebabkan agensi swasta yang tidak bertanggungjawab, pelajar terpaksa berdepan dengan risiko dalam menuntut ilmu di bumi anbia.

Sememangnya universiti yang mereka ditempatkan rata-rata universiti terbaik di Timur Tengah. Tetapi biarlah kawasan penginapan pelajar tidak kira lelaki mahu pun perempuan di kawasan yang aman, bebas dari jenayah. 

You Might Also Like

1 Sweet Smile

  1. teringin jugak nk study kat oversea..tapi , tak cukup syarat..hahaha.. =D

    ReplyDelete

KOMEN DI SINI